Saturday, April 11, 2009

cerita lama (1) ;


Lawatan ke PUSPEN Dengkil


Pada tanggal 26 Mac 2009 yang lalu, Persatuan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan juga Skim Lencana Anti Dadah (SLAD) SMK Lembah Keramat telah mengadakan satu lawatan sambil belajar ke Pusat Serenti Dengkil, Selangor. Seramai 35 orang ahli kelab menyertai lawatan itu diiringi empat orang guru. Tujuan lawatan itu diadakan adalah untuk mendedahkan kepada ahli kelab mengenai bahaya pengambilan dadah, kesan-kesannya terhadap penagih seterusnya memberi satu pengalaman baru kepada ahli kelab yang tidak mudah diperolehi oleh orang lain.


Pada jam 7.30 pagi, kami mendaftarkan diri kepada guru pengiring dengan menyerahkan borang kebenaran seterusnya bertolak ke destinasi pada jam 7.45 pagi dengan menaiki sebuah bas sekolah. Selepas satu setengah jam perjalanan, kami akhirnya selamat tiba ke destinasi yang ditujui dan disambut oleh Sarjan Fazlin selaku polis bantuan yang bertugas di situ. Selepas diberi taklimat ringkas mengenai keselamatan dan peraturan di situ, kami bergerak ke bilik mesyuarat untuk aktiviti seterusnya. Di situ, kami diberi pendedahan yang lebih meluas mengenai pusat serenti itu melalui slide show yang telah disediakan.


Antara maklumat ataupun pengetahuan yang kami perolehi melalui pertunjukan slide show itu ialah kini, pusat serenti tersebut dikenali sebagai Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN). Ianya telah ditubuhkan pada tahun 1988 dengan keluasan 47.9 hektar yang mampu menampung lebih kurang 200 orang penghuni. Antara objektif penubuhannya ialah:

· Merawat dan memulihkan penagih dalam setting yang terkawal

· Bebas dari pergantungan fizikal dan psikologikal

· Mengintegrasikan semula ke dalam masyarakat sebagai seorang yang normal, berguna dan produktif.


Para penghuni di situ juga akan menjalani lapan komponen program rawatan dan pemulihan iaitu:


· Program kaunseling dan bimbingan

· Program rawatan perubatan dan kesihatan

· Program pendidikan agama dan moral

· Program sukan dan riadah

· Program kemahiran dan vokasional

· Program pemulihan fizikal dan disiplin

· Program sivik dan tatanegara

· Program integrasi semula ke dalam masyarakat.


Melalui slide show itu, dadah bermaksud sesuatu bahan kimia yang mempunyai kesan paling ketara ke atas sistem saraf pusat (otak dan saraf tunjang). Kami juga didedahkan mengenai faktor-faktor pengambilan dadah dan tanda-tanda awal pengambilannya. Selain daripada itu, kami juga diberitahu mengenai jenis-jenis dadah yang terkenal iaitu opiat, ganja, dadah sintetik dan banyak lagi. Selepas itu, kami diberi peluang untuk mendengar pengalaman daripada dua orang bekas penagih yang dirawat di situ. Kami sering diingatkan supaya tidak sesekali ingin dan mencuba dadah kerana ianya hanya memberi penderitaan berbanding keseronokan yang tidak kekal lama.


Selesai pertunjukan slide show dan sesi berkongsi pengalaman itu, kami menikmati sarapan pagi yang telah disediakan. Selepas itu, kami dibawa melawat sekitar kawasan pusat serenti tersebut. Antara infrastruktur yang terdapat di situ bagi kegunaan penghuni ialah surau, dewan makan, bilik gunting dan jahitan, padang bola sepak dan lain-lain. Selain itu, hanya terdapat dua asrama penghuni iaitu Asrama Anggerik untuk penghuni yang berpenyakit dan juga Asrama Bakawali untuk penghuni yang bebas daripada penyakit. Yang lebih menarik perhatian kami ialah, terdapat kilang perabot di situ yang diusahakan oleh penghuni di situ. Malah, perabot-perabot yang mereka hasilkan diperbuat daripada kayu-kayu yang diimport dari Sweden dan hasilnya akan dieksport ke China dan Korea.


Tambahan pula, mereka juga menjalankan penternakan cacing yang akan digunakan untuk membuat barang kosmetik dan juga untuk dijadikan sebagai baja organik. Di samping itu, mereka menternak ayam dan sebanyak 35, 000 ekor ayam akan dijual bagi setiap penjualan yang mereka lakukan dan mereka juga berkebun menanam keledek. Tepat jam 10.40 pagi, kami dibawa menuju ke bilik muzik. Di situ, terdapat pelbagai kelengkapan muzik yang digunakan oleh penghuni pusat tersebut. Kami berasa sangat bertuah kerana mereka sudi mempersembahkan dua buah lagu untuk kami.

Terdapat segelintir pelajar yang terharu dan sedih tatkala mendengar lagu yang mereka dendangkan.


Selepas 30 minit berada di dalam bilik muzik, kami berkumpul semula di pagar utama untuk bertolak pulang. Tetapi, sebelum itu, kami diberi taklimat dan kata-kata akhir daripada pegawai pusat. Kami juga sempat merakamkan gambar bersama untuk disimpan sebagai kenang-kenangan. Pada jam 11.30 pagi, kami bertolak pulang ke sekolah. Semasa dalam perjalanan pulang, kebanyakan pelajar tidur kerana keletihan. Kami akhirnya selamat sampai semula ke sekolah pada jam 1.30 tengah hari dan dibenarkan pulang ke rumah. Secara tuntasnya, lawatan ini banyak memberi pengetahuan dan pengalaman yang baru dan berguna kepada ahli kelab untuk dijadikan teladan.


gambargambar ;


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Daisypath Anniversary tickers
 

Designed by 100 Web Hosting